Saturday, October 15, 2016

Catatan Hijrah 2 - RINTIHAN HAMBA

Satu Perkongsian. Mendengar sambil mencatat. KHUTBAH JUMAAT 13 Muharram 1438H Masjid SULTAN ABDUL HALIM IPSAH Tajuk: Rintihan Manusia Semasa di Padang Mahsyar Khutbah dimulakan dengan Ayat 12, Surah As-Sajdah وَلَوْ تَرَىٰ إِذِ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُو رُءُوسِهِمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ ﴿١٢﴾؅ 12. Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin". Rintihan Keinsafan manusia ketika berada di padang Mahsyar (ditunjukkan keadaan di akhirat...keadaan di Neraka) untuk diberi peluang kembali ke dunia untuk melakukan kebaikan. Golongan ini yang melakukan dosa ketika di dunia. Sebenarnya semua telah terlambat. Peluang telah diberi ketika di dunia. Golongan ini semasa di padang Mahsyar barulah mereka yakin tentang pembalasan Allah kecuali orang-orang yang beriman yang sentiasa yakin tentang pembalasan Allah sejak di dunia lagi. Itu makanya. tunaikanlah tanggungjawab ketika di dunia. Sebagai ketua keluarga perlulah memberi peringatan dan memberi tunjuk ajar dan sentiasa menjaga isteri dan ahli keluarga yg lain agar mentaati Allah SWT. Perlulah kita bermuhasabah diri. Jadilah suami, ketua keluarga, pemimpin yang memegang amanah dan tanggungjawab. Tunjuklah tauladan baik. Didiklah isteri dan ahli keluarga untuk terus bertakwa kepada Allah. Amanah kepada pengurusan keluarga, organisasi, negara perlu dijaga. Kepedulian kepada balasan Allah dan nikmat Allah perlu disyukuri. Sesungguhnya tawaran-tawaran Allah kepada yang bertakwa kepada-Nya sangatlah besar. Marilah sama-sama kita berubah kepada yang lebih baik di tahun hijrah yang baharu ini. Khutbah diakhiri dengan Firman Allah dalam Ayat 27-30 Surah Al-Fajr. يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ ﴿٢٧﴾؅ 27. (Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata): "Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! ارْجِعِي إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَرْضِيَّةً ﴿٢٨﴾؅ 28. "Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu)! فَادْخُلِي فِي عِبَادِي ﴿٢٩﴾؅ 29. "Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia وَادْخُلِي جَنَّتِي ﴿٣٠﴾؅ 30. "Dan masuklah ke dalam SyurgaKu! " Wallahualam.

Catatan Hijrah 1 ..... NIAT & NIKMAT ALLAH

Satu Catatan...Satu Perkongsian CERAMAH MAAL HIJRAH OLEH USTAZ DR JAMNUL DI PUSAT ISLAM ASHABUL KAHFI 12 Muharram 1428H Pusat Islam Ashabul Kahfi UiTM Kedah Kata Kunci: Ilmu Amal Keikhlasan Segalanya Bermula dengan NIAT Kupasan Hadis “Innamal A’malu Binniyat” "Amal itu tergantung niatnya, dan seseorang hanya mendapatkan sesuai niatnya" Ungkapan "Ketika kita sedang tidur, pintu-pintu langit telah terbuka dengan doa-doa orang yang pernah kita bantu" Amal bergantung kepada Niat Intuitive Minds/Mind of intuition Kekuatan dan kekuasaan NIAT Niat untuk berubah: "Tidak baik kepada baik Baik kepada lebih baik Lebih baik kepada paling baik Paling baik kepada yang terbaik" "Hari ini lebih baik daripada kelmarin Esok lebih baik daripada hari ini" Amalan baik membaca surah Al-Kahfi setiap hari Amal mesti isthiqomah Konsep Mudawamah - berpanjangan, berterusan, bersungguh-sungguh, melakukan ibadah Nikmat yang Allah berikan berbanding Amalan yang diberikan kepada Allah Mengingati dan bersimpati dengan org ysng kurang bernasib baik Kalimah "Ya Arhamnarohimin Irhamna" Harapkan Kasih, Belas, Rahmat Allah - simpati Allah BUKAN bangga dengan amalan yang kita buat yang kita rasa dah banyak dan melayakkan kita mendapat ganjaran Allah Kenapa bercakap tapi tak buat Org berilmu yang tidak tegur kemungkaran walaupun dia sedar - syaitan bisu Org yang suruh orang buat kebaikan tetapi dia sendiri tidak buat Rasulullah berpesan "Hendaklah kamu takut kepada kejahatan yang dilakukan oleh orang yang kita tolong" Semuanya menguji keikhlasan kita Ikut hadis dan syariat yang telah Rasul sampaikan/pesan Hijrah kita lakukan jangan berpaksikan niat untuk mendapat nikmat dunia Wallahualam.

Sunday, July 25, 2010

MALAM NISFU SYAABAN...

Pada malam Nisfu Syaaban, sunat membaca surah Yasin sebanyak 3 kali.


Bacaan kali pertama, memohon supaya dipanjangkan umur dan taat kepada Allah serta sentiasa beramal soleh.
Bacaan kali ke-2, memohon supaya ditolak segala bala bencana.
Bacaan kali ke-3, memohon supaya tidak berhajat kecuali kepada Allah dan setiap kali selepas bacaan Surah Yasin dibaca doa dibawah ini:

Saturday, July 3, 2010

MEMANG PERLUKAN SATU HIJRAH!!!

Dari SINAR HARIAN - 04072010

Bola sepak negara perlu perubahan

Walaupun sudah bersara daripada dunia bola sepak, namun minat dan perhatian Dali Omar, 64, terhadap perkembangan sukan itu, tetap dititik beratkan.
Melihat kepada prestasi bola sepak negara yang tidak menentu, Dali, nama yang tidak asing lagi dalam arena bola sepak era 70-an, seorang legenda bola sepak dan juga bekas pemain kebangsaan.
Walaupun skuad bola sepak bawah 23 negara berjaya mencipta sejarah di Sukan Sea 2009, apabila menang emas pertama selepas kemarau 20 tahun lalu, namun bagi beliau pemain dan jurulatih tidak boleh leka dan cepat berpuas hati.
Persoalannya kini, di manakah kedudukan pasukan kebangsaan, lima tahun akan datang? Mampu kah negara mencapai cita-citanya, beraksi di gelanggang penuh prestij, Piala Dunia?: Atau setidak-tidaknya mampu kah mereka menyaingi pasukan dari benua Asia?
“Inilah masalahnya, dan kita perlu hadapi serta tangani bersama-sama. Cuma bagaimana mahu selesaikannya? Macam mana hendak mulakan?,”katanya kepada Sinar Harian.
Berbekal pengalaman sebagai ketua jurulatih skuad Australia, dan bekas pemain divisyen 2 kelab Florentina dan Juventus, Dali yakin, beliau dapat bersama membantu perbaiki mutu sukan bola sepak negara.
“Untuk melahirkan satu pasukan yang mantap dan memiliki pemain dan jurulatih yang berkualiti tidak mudah. Ia perlu bermula dari peringkat akar umbi.
“Pemain harus ada semangat, konsistensi yang berterusan, sentiasa berusaha untuk maju, bekerja keras dan tidak terlalu berharap dengan latihan yang diberi jurulatih sahaja,” katanya.
Bahkan, ketika zaman kegemilangannya dahulu penyokong juga memainkan peranan penting.
“Peminatlah yang menaikkan semangat kami untuk berjuang mengharumkan nama negara. Tanpa mereka, siapalah kami.
“Jika diberi peluang oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) saya mahu menabur bakti mencurahkan ilmu dan pengalaman, agar satu hari nanti, nama Malaysia turut tercatat di kejohanan Piala Dunia,” katanya.
Berasal dari Kelantan, Dali Omar mula bergiat aktif, sejak berusia 10 tahun, menjadi rakyat Malaysia yang pertama beraksi di luar negara di bawah Kelab Azzuri Australia.

Thursday, July 1, 2010

INI JUGA SATU HIJRAH...

Kenangan Lalu....mengusik jiwa....
anak-anak dah membesar, tanggungjawab ibu bapa pun semakin besar juga...


Wednesday, June 30, 2010

HIJRAH SAUDARA-SAUDARAKU.....

SATU HIJRAH ……
SATU PERMULAAN BARU…
SATU DARIPADA TUNTUTAN-NYA…




ANAKANDA AMIRUL ASYRAF BIN HJ. BAKHARI
&
RAIHANA BINTI HJ. RAHMAT





12 JUN 2010



Ayam disabung jantan dipaut
Jika ditambat kalah laganya
Asam di darat ikan di laut
Dalam belanga bertemu jua


Syukur kepada ALLAH SWT kerana dengan limpah kurnia dan Inayah-Nya kita dapat melangsungkan urusan majlis perkahwinan dengan lancar dan jayanya. Itu makanya, satu ikatan telah dimeteri yang membawa maksud ketentuan ALLAH melebihi segalanya. Jodoh pertemuan, ajal maut telah ditulis dan dicorak sedemikian rupa. Hari ini anakanda Amirul dan Raihana dipertemukan untuk membentuk satu ikatan berterusan, yang menandakan kelangsungan hidup berkeluarga yang mana bahagia menjadi matlamatnya. Pembentukan keluarga dalam Islam bermula dengan ikatan perkahwinan antara lelaki dan perempuan secara sah mengikut hukum Islam itu sendiri. Apabila rumah tangga itu dibina dengan sempurna dan sah, maka ia mendapat keredhaan dan berkat dari Allah S. W. T. Sehubungan dengan itu, perkukuhkanlah ikatan ini hingga akhir hayat. Jalinlah hubungan dengan penuh kasih sayang kerana keakraban suami dan isteri amatlah penting untuk memperkukuhkan ikatan perkahwinan. Sesungguhnya lelaki (suami) itu dicipta untuk wanita (isteri).
Allah telah berfirman dalam Surah Al Baqarah (2:187);

“Mereka (suami) itu adalah pakaian bagimu (isteri), dan kamu (isteri) pun
pakaian bagi mereka (suami)”

Allah telah menjadikan hubungan perkahwinan sebagai Sunnah para Rasul di mana ia akan melahirkan rasa saling cinta mencintai, sayang menyayangi, hormat menghormati, sikap saling bekerjasama dan bantu membantu untuk mendidik keturunan dan keluarga. Melalui perkahwinan juga, manusia akan dapat mengembangkan keturunan dan memenuhi ketenteraman jiwa kerana perkahwinan yang harmoni dan sesuai munurut tuntutan Ilahi sebagai tempat untuk berehat jasmani maupun rohani kita. Sesungguhnya Allah telah mengatur segala yang terbaik untuk kita dan seharusnya kita menjalankan kewajipan sebagai hamba Allah yang terbaik.

ANAKANDA AMIRUL DAN RAIHANA YANG DISAYANGI –
INI PESAN AYAHANDA HJ. BAKHARI DAN BONDA HJH. ROSINI

Menanam kelapa di Pulau Bukum
Tinggi sedepa sudah berbuah
Adat bermula dengan hukum
Hukum bersandar di kitab Allah

Ingatlah wahai anakanda berdua, untuk memupuk keharmonian hidup berumahtangga, setiap suami isteri hendaklah mematuhi dasar-dasar hukum yang digariskan oleh Islam agar terhindarlah perkara-perkara yang tidak diingini. Islam telah mengingatkan bahawa isteri adalah amanah daripada Allah dan hendaklah dijaga dengan sebaik-baiknya.
Firman Allah SWT dalam Surah Al Rum (30:21);

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan mereka tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir”

Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa, lelaki yang paling baik akhlaknya adalah lelaki yang paling sayang pada isterinya. Wanita yang paling baik pula ialah wanita yang menyenangkan hati suaminya apabila suaminya memandangnya. Taat bila disuruh dan pandai menjaga kehormatan dirinya dan harta benda suaminya di kala suami tiada. Oleh itu, sentiasalah bermuhasabah agar diberi Allah kekuatan untuk mengharungi alam perkahwinan yang banyak dugaannya.

Pada masa yang sama, anakanda berdua mestilah menerima hakikat bahawa keluarga sekarang semakin membesar. Hubungan dengan keluarga semakin kompleks. Kita bukan sahaja berkahwin dengan pasangan masing-masing sahaja tetapi membentuk ikatan silaturrahim dengan seluruh ahli keluarga dan sanak saudara. Kekalkanlah dan mantapkanlah hubungan baik dan akrab selama ini dan mulalah mengenali orang-orang baru disekeliling. Yang paling penting kasih sayang dan rasa hormat kepada ibu bapa janganlah dipermudah dan dikurangkan. Sesungguhnya hubungan yang baik antara anak dan ibu bapa akan membawa ke arah pembentukan keluarga baru yang bahagia. Islam telah memberikan perhatian yang penting ke atas perkara ini. Agama mewajibkan anak-anak mentaati kedua orang tuanya. Anak-anak yang berilmu dan beriman akan sentiasa mengingati ibu bapa mereka.
Sabda Rasuluilah SAW yang bermaksud;
"Apabila mati seseorang anak Adam, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara sahaja, iaitu sedekah yang berkekalan, ilmu yang boleh dimanfaatkan dengannya dan doa daripada anak-anak yang soleh".

Terang bulan di malam sepi
Cahaya memancar ke pangkal kelapa
Hidup di dunia buatlah bakti
Kepada ibu dan juga bapa

Berbunga lebat pohon rambutan
Hinggap tempua berjuntai kaki
Bila dapat memandang bulan
Jangan lupa rumput di bumi




ANAKANDA RAIHANA DAN AMIRUL YANG DIKASIHI –
INI PULA PESANAN DAN HARAPAN AYAHANDA HJ RAHMAT DAN BONDA HAJJAH RAHIMAH
Untuk membina keluarga yang bahagia dan mendidik manusia, rumahtangga merupakan institusi yang asas dan terpenting kerana di situlah bermulanya kehidupan setiap individu. Dengan kata lain, rumahtangga adalah gelanggang bagi melahirkan individu-individu yang terdidik dengan Islam. Apabila individu-individu telah terdidik, mudahlah mereka ditadbir, diperintah atau dicorakkan mengikut Islam.
Allah berfirman yang maksudnya:
"Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada api Neraka." – (At Tahrim: 6)
Jadikanlah rumahtangga sebagai sebuah gelanggang kecil, di mana suami ibarat ketua negara, isteri sebagai menteri manakala anak-anak sebagai rakyat jelata. Rumahtangga Islam akan lahir apabila suami menjalankan tanggungjawab dengan baik; isteri taat dan setia, menjaga maruah dan berwatak pendidik; dan anak-anak menurut kata serta berakhlak. Insya-Allah amalan mulia ini akan menjana rezeki yang murah dan berkat. Suami yang adil dan bijaksana akan berupaya memimpin keluarga bahagia dibantu oleh isteri yang sentiasa menjadi penyokong setia tatkala suka dan duka.
Firman Allah SWT dalam Surah Al Nahl (16:72);

“Allah menjadikan bagi kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri dan menjadikan bagimu dari isteri-isteri kamu itu, anak-anak dan cucu-cucu, dan memberimu rezeki dari yang baik-baik”

Di samping itu, isteri adalah wanita yang solehah dan bijaksana yang dapat membantu suaminya menjalankan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya. Rumahtangga merupakan gelanggang jihad yang paling utama bagi kaum wanita. Sebab itulah dikatakan rumah itu Syurga bagi wanita. Rasulullah bersabda yang maksudnya:
"Apabila seorang wanita mendirikan sembahyang lima waktu, puasa pada bulan Ramadhan, menjaga kehormatan dan taat kepada suaminya, maka masuklah ia ke dalam Syurga." - Riwayat Al Bazzar daripada Anas.
Anakanda Raihana…Seorang wanita umpama jantung di dalam rumahtangga. Jika jantung diserang penyakit, seluruh anggota akan lemah. Begitulah halnya jika isteri tidak menjalankan tugas dan peranan yang sepatutnya, terganggulah kelancaran perjalanan sesebuah rumahtangga, atau pincanglah rumahtangga itu.


ANAKANDA YANG DIKASIHI
Sebagai orang tua yang lebih berpengalaman dan lebih dahulu merasa pahit manis kehidupan berumah tangga, percayalah bahawa rumahtangga adalah satu wadah untuk melahirkan generasi bertaqwa. Apabila berkahwin, kita akan memikirkan untuk mengembangkan keluarga. Hasrat untuk memiliki anak yang pada masa yang sama cucu kepada kedua-dua ibu dan bapa kita perlu disemat. Itulah salah satu matlamat perkahwinan dalam Islam, iaitu untuk mengembangkan zuriat. Berusahalah ke arah itu. Apabila sudah dikurniakan Allah zuriat maka didiklah anak itu dengan penuh kasih sayang dengan iman dan akhlak yang dijadikan dasar pendidikan kepada anak-anak.Oleh kerana ibu bapa adalah guru atau pendidik yang pertama dalam kehidupan anak-anak, ia mesti menunjukkan contoh yang baik. Dan hanya rumahtangga yang berwajah Islam saja yang dapat melahirkan suasana pendidikan yang sesuai bagi membentuk generasi beriman dan berakhlak, yang menjadikan Allah sebagai matlamat hidup.

Tinggi sungguh si Gunung Daik
Mercunya nampak terang berkilau
Kalau asal benih yang baik
Jatuh ke laut menjadi pulau

ANAKANDA AMIRUL DAN RAIHANA YANG DIKASIHI…


Sebagai pengukuh ukhuwah, kedua-dua ayahanda dan bonda serta kaum keluarga ingin berpesan bahawa perkahwinan ini bukanlah sekadar memenuhi tuntutan diri tetapi lebih kepada tuntutan agama. Apabila kita memasuki alam perkahwinan ini maka kita secara langsung memasuki alam berumah tangga. Akan ada pelbagai kesenangan dan kesusahan. Tetapi itulah hakikat sebuah perkahwinan. Sekali kita harunginya, terokailah sehingga mencapai ke penghujungnya. Banyak asam garam dan pahit manis kehidupan.

Bak kata pepatah “kalau takut kepada ombak, jangan berumah di tepi pantai”, “Alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan”, “kalau menarik rambut di dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berserakan”. Itulah lumrah kehidupan yang akan diharungi bersama. Untuk selamat sentiasalah kembali kepada kehidupan seorang muslim yang berpegang teguh kepada tali Allah.


Tenang-tenang air laut
Sampan kolek mudik ke tanjung
Hati terkenang mulut menyebut
Budi baik rasa nak junjung

Baik bergalas baik tidak,
Buli-buli bertali benang,
Baik berbalas baik tidak,
Asal budi sama dikenang.

AMBHA 10-06-2010


Tuesday, June 29, 2010

BERBAHASA, BERBUDAYA: CABARAN DUNIA SEJAGAT...KE MANA HIJRAHNYA!!!


Malaysia Selepas 50 tahun Merdeka:
Bahasa dan Budaya Dari Perspektif Ketamadunan Bangsa
KEWIBAWAAN sesuatu bangsa yang merdeka adalah bertitik-tolak daripada keupayaan untuk membebaskan diri daripada elemen-elemen penjajahan yang merantai pemikiran dan jati diri tulen sesebuah masyarakatnya. Dari situlah, wahana ‘negara merdeka’ dan ‘negara berdaulat’ bertunjangkan masyarakat yang bebas dapat dibentuk dan disepadukan. Masyarakat dengan nilai ‘sejagat’ yang diperkukuhkan dengan ketulenan bahasa dan kekuatan budayanya mampu mengukuhkan ketamadunan bangsa malah berupaya menggegar seluruh buana.
WALAU BAGAIMANAPUN proses mempertahan dan memartabatkan kewibawaan dan ketamadunan bangsa akan terbantut apabila wujud satu keadaan di mana penutur asli sesuatu bahasa akan mula mengagumi bahasa lain dan mula menolak bahasanya sendiri. Satu contoh jelas ialah melalui kesan daripada proses penjajahan yang akhirnya meletakkan bahasa penjajah itu sendiri sebagai sesuatu yang mula dan terus dikagumi dan penutur asli mula berkecenderungan untuk menolak bahasanya sendiri. Lumrah dunia yang serba rencam ini berlaku di mana saja tetapi yang paling menyedihkan ialah apabila ia berlaku di bumi bertuah, merdeka dan berdaulat ini sendiri. Keadaan ini telah mula berlaku di Malaysia dan ini menepati kata-kata Sweetenham (akhir abad ke-20) bahawa pendidikan Barat akan melenyapkan bahasa Melayu selepas dua generasi.
NAMUN sekiranya bahasa asli itu terus digunakan dan diutamakan maka jati diri sesuatu bangsa itu akan terus kukuh. Contoh yang boleh diberikan ialah negara maju seperti negara Jepun yang menolak pendidikan bahasa Inggeris sebagai nilai utama dalam pendidikan negara bangsa terus unggul dengan identitinya sendiri dan maju seiring dengan negara-negara maju yang lain. Kita juga perlu sedar dan akur bahawa pada masa yang sama bahasa juga sebagai saluran kepada pengembangan dan pemupukan elemen budaya.
SESUNGGUHNYA, yang membentuk satu tamadun ialah kewujudan pertalian bahasa dan budaya itu sendiri. Kebangkitan dan kekuatan mantik sesuatu budaya ialah bertunjangkan bahasanya yang sekali gus memastikan perkembangan disiplin ilmu yang lain. Tamadun Islam bertunjangkan bahasa yang persis, bersih dan jernih, iaitu bahasa Arab yang merupakan bahasa peribumi sejak zaman Arab Jahiliyah. Begitu juga yang berlaku pada kepada tamadun Melayu yang unggul selepas kedatangan Islam yang mana bahasa Melayu telah menjadi satu bahasa bertaraf ‘lingua franca’ yang tinggi martabatnya dan mendukung satu budaya yang istimewa. Kewujudan fungsi bahasa adalah sebagai satu alat ilmu dan merupakan perentas kurikulum dan budaya. Ini disebut oleh Imam Al-Ghazali sendiri bahawa ilmu tunjang ialah ilmu bahasa dan Al-Farabi juga menyebut bahawa bahasa sebagai pencetus disiplin lain yang turut merangkumi elemen budaya. Sesungguhnya, prasyarat untuk menguasai budaya ialah melalui penguasaan bahasa.
PERSOALAN betapa relevan atau bermaknanya sesuatu isu bergantung kepada matlamat akhirnya. Bagaimana sesuatu bahasa itu boleh memupuk satu pembiasaan dan pembudayaan dalam masyarakat dan persekitarannya bertunjangkan kepada penghayatan moral yang tinggi. Dalam konteks ini, agama boleh dijadikan sebagai teras utamanya. Agama itu sendiri sebagai penyelamat kerana ia membentuk elemen-elemen murni seperti bermoral, beretika dan berwawasan yang menjadi teras kepada pengukuhan nilai bahasa dan budaya. Begitulah juga dengan bahasa dan budaya yang akan menjamin satu pembentukan tamadun yang baik berkonsepkan gaya hidup yang unggul dengan kekuatan agama itu sendiri. Arus pascamodenisasi dan globalisasi harus ditangani dengan baik dan bijak supaya bahasa dan budaya yang telah diangkat dengan begitu baik selama ini, iaitu dalam konteks ini bahasa Melayu akan runtuh hanya kerana mainan segelintir manusia yang rakus dan telah atau mulai hilang jati dirinya.
INILAH fenomena yang berlaku hari ini. Bahasa Melayu dan budayanya telah mula dipinggirkan dan seolah-olah menjadi bahasa kelas kedua malah pada keadaan tertentu telah menjadi bahasa kelas ketiga. Apabila bahasa itu sendiri mula diturunkan tarafnya maka secara langsung budaya itu sendiri mula goyah. Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah untuk membendung gejala yang tidak sihat ini. Ungkapan-ungkapan indah seperti “Bahasa Jiwa Bangsa”, “Budi Bahasa Amalan Kita”, “Orang Berbudi Kita Berbahasa”, seolah bersandarkan pada nilai retorik sahaja. Dari segi nilai sejagat, ia makin dipinggirkan. Tidak hairanlah sekiranya isu “istilah” antara bahasa Melayu dan bahasa Malaysia didendangkan tanpa rasa segan dan malu demi mempertahankan sesuatu yang ganjil. Betapa ironisnya, apabila media utama sendiri mempropaganda dan mensensasikan isu penggunaan istilah bahasa Malaysia sebagai satu usaha memupukkan nilai perpaduan. Perlukah ada ungkapan oleh murid mahupun guru yang berlainan saban hari mengungkapkan beberapa kenyataan piawai yang sama seperti “ saya semakin bersemangat untuk belajar bahasa Melayu sekarang kerana ia telah menggunakan istilah bahasa Malaysia”, “mereka yang tidak dapat menerima penggunaan istilah bahasa Malaysia adalah meraka yang berfikiran sempit”. Di manakah nilai dan rasa hormat kita kepada bahasa Melayu. Pada masa yang sama tidakkah terfikir dalam kerangka pemikiran kita bahawa wujud perhubungan langsung antara konsep berbahasa, berbudaya dan berbudi bahasa. Konsep “berbudi dan berbahasa” dianggap sebagai sifat-sifat yang mulia dan bersandarkan nilai-nilai murni yang sentiasa dititikberatkan.
DALAM usaha kerajaan untuk membentuk masyarakat Malaysia yang memegang teguh prinsip Rukunegara kelima, iaitu Kesopanan dan Kesusilaan, konsep “berbudi dan berbahasa” mampu menjana tingkah laku sopan dan darjah kesusilaan yang unggul dalam kehidupan peribadi dan kehidupan bermasyarakat. Inilah konsep yang ingin kita semaikan dengan pemupukan “Budaya Ikram” yang bersendikan cara hidup anggota masyarakat yang saling lengkap-melengkapi dengan nilai-nilai murni, iaitu sentiasa saling menghormati, memberi khidmat, menolong, berbuat jasa, melakukan kebajikan, menabur budi, menunjukkan rasa kasih dan belas kasihan, bersopan dan berbahasa, bertimbang rasa dan pemurah sesama insan ketika senang mahupun dalam kesusahan.
Baik bergalas baik tidak,
Bulu-buli bertali benang,
Baik berbalas baik tidak,
Asal budi sama dikenang.
Yang kurik itu kendi,
Yang merah itu saga,
Yang molek itu budi,
Yang indah itu bahasa.
SESUNGGUHNYA masyarakat dengan nilai ‘sejagat’ yang diperkukuhkan dengan ketulenan budi bahasa dan kekuatan nilai murni budayanya mampu mengukuhkan ketamadunan bangsa malah berupaya menggegar seluruh buana. Secara langsung cabaran Wawasan 2020 untuk membentuk masyarakat Malaysia maju yang holistik dengan nilai-nilai murni seperti progresif, beretika, bertamadun, bermoral, dan berdaya saing dapat dicapai. Tanpa komitmen semua rakyat Malaysia, matlamat yang kita gariskan dalam Rukunegara sehinggalah ke Wawasan 2020 akan gagal dimanifestasikan.
TIDAK dinafikan apabila satu-satu bangsa sudah tidak memiliki elemen ini, maka kehancuran sesuatu peradaban akan berlaku sehingga ke akar umbi. Dengan hanya kurangnya budi pekerti dan terhakisnya nilai-nilai indah berbahasa dan bersopan santun kita semakin jauh tenggelam dan hilang identiti. Tidak guna kita mengejar kemajuan dengan mengorbankan ketamadunan bangsa kita sendiri sehingga akhirnya kita hilang kedua-duanya. Bak kata pepatah ”yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”.Allahyarham Prof. Dr. Hamka juga pernah menjelaskan tentang budi yang “Muhlikat" dan “Munjiyat”. Menurut Prof. Dr. Hamka, untuk menegakkan cita mempertinggi budi pekerti, kita akan bertemu dengan penyakit budi. Bukan sahaja jasmani ini ditimpa sakit, budi pun dapat diserang “penyakit budi”.Sesungguhnya, budi yang “Muhlikat”, iaitu yang membawa diri kita kepada kebiasaan, sehingga jiwa menjadi merana. Belum mati, belum bercerai nyawa dan badan, namun nyawa telah dahulu mati. Meskipun nafasnya masih turun naik, namun hidupnya tidak beerti lagi, sebab martabatnya sebagai manusia sudah jatuh. Maka turunlah martabatnya menjadi binatang, hidupnya hanya untuk makan dan minum, tidak mempunyai sejarah, tidak meninggalkan nama baik. Kerana dia jatuh dalam perjuangan, lantaran kejatuhan budinya.
MANAKALA, budi baik yang dapat melepaskan iman dari kesengsaraan jiwa, kerana dia berjuang di dalam hidupnya mencapai tingkat kemanusiaan yang lebih tinggi. Perangai-perangai baik ini dikenali sebagai “Munjiyat”.
DALAM sebuah syair Arab gubahan Syauqi Bey dinyatakan permasalahan yang sama, iaitu:Satu bangsa terkenal ialah lantaran budinya.Kalau budinya telah habis, nama bangsa itu pun hilanglah.(WA INNAMAL UMAMUL AKHLAQU MAA BAQIATWA IN HUMUU DZAHABAT AKHLAQUHUM DHAHABUU)
Tegak rumah kerana sendi,
Runtuh sendi rumah binasa,
Sendi bangsa ialah budi,
Runtuh budi runtuhlah bangsa.
SESUNGGUHNYA, perkembangan ilmu dan segala disiplin di dalamnya perlu menggunakan kerangka fikiran kita sendiri. Jelasnya ialah ia mesti berteraskan bahasa Melayu itu sendiri. Tidak salah kita mencernakan pelbagai ilmu atau maklumat dengan perantaraan bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris tetapi pengungkapannya perlu dilakukan dengan menggunakan bahasa Melayu.
SALAH SATU caranya tidak lain tidak bukan ialah melalui penterjemahan. Kita lihat sejak dulu lagi kegiatan menterjemah ini dilakukan untuk memperkembangkan pelbagai disiplin ilmu. Apabila kita melakukan penterjemahan, kita bukan sahaja menterjemah bahasanya sahaja tetapi kita juga menterjemah budayanya sekali namun ada hadnya supaya unsur-unsur budaya yang diterjemahkan itu tidak melanggar norma-norma murni kita. Contoh yang paling klasik dan signifikan ialah bagaimana negara Jepun sejak zaman Meiji lagi telah menggalakkan kegiatan penterjemahan ini untuk memindahkan ilmu Barat berdasarkan kerangka fikiran mereka sendiri. Ini merupakan salah satu unsur ‘technology transfer’. Tidak perlu kita menidakkan kemampuan bahasa kita sendiri kerana bahasa kita bukannya berusia setahun jagung tetapi sudah merentas zaman berkurun lamanya. Bahasa asli hanya akan terus hidup sekiranya diteraskan oleh kekuatan iltizam untuk mempertahankan bahasa itu sendiri. Bahasa mempunyai ekologinya sendiri yang menguasai segala domainnya.
OLEH ITU, perlu ada usaha-usaha penterjemahan buku ke bahasa ibunda yang lebih serius dan berterusan bagi merentas pemikiran dan menggerakkan minda masyarakat terutamanya di peringkat pertengahan dan bawahan. Walaupun bahasa Inggeris memainkan peranan penting dewasa ini, namun untuk mengubah, mendidik, membimbing masyarakat secara keseluruhannya apatah lagi untuk menyampaikan idea, pandangan secara lebih terbuka, menyeluruh dan lebih difahami, wasilah bahasa ibunda atau pun bahasa Melayu perlulah dilaksanakan.
SEHUBUNGAN dengan itu, kegiatan penterjemahan perlulah sentiasa digiatkan. Kita tidak mahu hanya sebilangan manusia sahaja yang dapat memanfaatkan segala inti pati hebat yang terkandung di dalam mana-mana buku dan karya agung kerana ini amatlah merugikan negara. Sesungguhnya karya terjemahan juga mewajarkan pencambahan idea dan gagasan yang lebih menyeluruh dan mencakup semua lapisan masyarakat secara integral. Tidak salah kita mencernakan pelbagai ilmu atau maklumat dengan perantaraan bahasa asing seperti bahasa Inggeris tetapi pengungkapannya sebaik mungkin perlu dilakukan dengan menggunakan bahasa ibunda terutamanya yang melibatkan transformasi pemikiran berteraskan percambahan idea, pandangan mahu pun wawasan. Walau bagaimanapun, perlu ada penyesuaian selaras dengan nilai-nilai budaya masyarakat kita.
KESIMPULANNYA, fenomena yang membeku ini memperlihatkan telah berlaku satu ‘krisis keyakinan’ terhadap kemampuan bahasa Melayu sekali gus budayanya sendiri untuk melahirkan satu bangsa Malaysia yang ideal dan ini memerlukan satu penyelesaian yang segera. Sebenarnya bahasa Inggeris itu boleh digunakan sebagai pembekal maklumat sahaja namun bahasa Melayu tetap sebagai alat yang penting untuk menyampaikan maklumat itu secara lebih jelas bersesuaian dengan input-input budayanya sendiri dan ini boleh dilakukan dengan menggiatkan melalui usaha-usaha penterjemahan seperti yang disebutkan sebelum ini. Jangan sampai bahasa Melayu hanya berfungsi sebagai penghias deretan kata retorik kosong dalam Perlembagaan Malaysia sahaja. Berbaliklah kepada pembebasan dan pengembalian diri kepada fitrah kita yang asal. Bangunkanlah tamadun bangsa yang sejati dengan nilai bahasa dan budaya yang luhur dan tulen serta nilai kesejagatan yang berprinsip. Syabas diucapkan kepada semua pencinta dan cauvinis bahasa dan budaya yang tanpa rasa takut dan rendah diri selama ini dalam pelbagai peluang dan kesempatan serta batasan media yang terhad telah menyatakan hakikat yang berlaku pada hari ini bersesuaian dengan kapasiti mereka sebagai pejuang bahasa dan budaya.
JELAS menunjukkan peri pentingnya peranan masyarakat secara keseluruhannya untuk mengembalikan amalan berbudi bahasa dan nilai-nilai murni dalam konteks individu (diri sendiri), keluarga, dan masyarakat keseluruhannya. Dalam hal ini, peranan individu, peranan keluarga, peranan institusi pendidikan, peranan industri, peranan media massa, peranan persatuan sukarela dan pertubuhan bukan kerajaan, peranan institusi kebajikan dan pemulihan, dan akhirnya peranan kerajaan perlu digembleng secara bersepadu dan berterusan demi pembangunan sosial, politik dan ekonomi negara yang berimbang dan berhemah. Kita telah merdeka selama 50 tahun dan kita sepatutnya berupaya meletakkan satu piawai yang diterima pakai oleh semua.
Bunga melati bunga di darat
Bunga seroja di tepi kali
Bunga idaman cantik di muara;
Hina besi kerana karat
Hina manusia tidak berbudi
Hina insan tidak berbahasa

AMBHA 24-07-07