Wednesday, June 30, 2010

HIJRAH SAUDARA-SAUDARAKU.....

SATU HIJRAH ……
SATU PERMULAAN BARU…
SATU DARIPADA TUNTUTAN-NYA…




ANAKANDA AMIRUL ASYRAF BIN HJ. BAKHARI
&
RAIHANA BINTI HJ. RAHMAT





12 JUN 2010



Ayam disabung jantan dipaut
Jika ditambat kalah laganya
Asam di darat ikan di laut
Dalam belanga bertemu jua


Syukur kepada ALLAH SWT kerana dengan limpah kurnia dan Inayah-Nya kita dapat melangsungkan urusan majlis perkahwinan dengan lancar dan jayanya. Itu makanya, satu ikatan telah dimeteri yang membawa maksud ketentuan ALLAH melebihi segalanya. Jodoh pertemuan, ajal maut telah ditulis dan dicorak sedemikian rupa. Hari ini anakanda Amirul dan Raihana dipertemukan untuk membentuk satu ikatan berterusan, yang menandakan kelangsungan hidup berkeluarga yang mana bahagia menjadi matlamatnya. Pembentukan keluarga dalam Islam bermula dengan ikatan perkahwinan antara lelaki dan perempuan secara sah mengikut hukum Islam itu sendiri. Apabila rumah tangga itu dibina dengan sempurna dan sah, maka ia mendapat keredhaan dan berkat dari Allah S. W. T. Sehubungan dengan itu, perkukuhkanlah ikatan ini hingga akhir hayat. Jalinlah hubungan dengan penuh kasih sayang kerana keakraban suami dan isteri amatlah penting untuk memperkukuhkan ikatan perkahwinan. Sesungguhnya lelaki (suami) itu dicipta untuk wanita (isteri).
Allah telah berfirman dalam Surah Al Baqarah (2:187);

“Mereka (suami) itu adalah pakaian bagimu (isteri), dan kamu (isteri) pun
pakaian bagi mereka (suami)”

Allah telah menjadikan hubungan perkahwinan sebagai Sunnah para Rasul di mana ia akan melahirkan rasa saling cinta mencintai, sayang menyayangi, hormat menghormati, sikap saling bekerjasama dan bantu membantu untuk mendidik keturunan dan keluarga. Melalui perkahwinan juga, manusia akan dapat mengembangkan keturunan dan memenuhi ketenteraman jiwa kerana perkahwinan yang harmoni dan sesuai munurut tuntutan Ilahi sebagai tempat untuk berehat jasmani maupun rohani kita. Sesungguhnya Allah telah mengatur segala yang terbaik untuk kita dan seharusnya kita menjalankan kewajipan sebagai hamba Allah yang terbaik.

ANAKANDA AMIRUL DAN RAIHANA YANG DISAYANGI –
INI PESAN AYAHANDA HJ. BAKHARI DAN BONDA HJH. ROSINI

Menanam kelapa di Pulau Bukum
Tinggi sedepa sudah berbuah
Adat bermula dengan hukum
Hukum bersandar di kitab Allah

Ingatlah wahai anakanda berdua, untuk memupuk keharmonian hidup berumahtangga, setiap suami isteri hendaklah mematuhi dasar-dasar hukum yang digariskan oleh Islam agar terhindarlah perkara-perkara yang tidak diingini. Islam telah mengingatkan bahawa isteri adalah amanah daripada Allah dan hendaklah dijaga dengan sebaik-baiknya.
Firman Allah SWT dalam Surah Al Rum (30:21);

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan mereka tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir”

Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa, lelaki yang paling baik akhlaknya adalah lelaki yang paling sayang pada isterinya. Wanita yang paling baik pula ialah wanita yang menyenangkan hati suaminya apabila suaminya memandangnya. Taat bila disuruh dan pandai menjaga kehormatan dirinya dan harta benda suaminya di kala suami tiada. Oleh itu, sentiasalah bermuhasabah agar diberi Allah kekuatan untuk mengharungi alam perkahwinan yang banyak dugaannya.

Pada masa yang sama, anakanda berdua mestilah menerima hakikat bahawa keluarga sekarang semakin membesar. Hubungan dengan keluarga semakin kompleks. Kita bukan sahaja berkahwin dengan pasangan masing-masing sahaja tetapi membentuk ikatan silaturrahim dengan seluruh ahli keluarga dan sanak saudara. Kekalkanlah dan mantapkanlah hubungan baik dan akrab selama ini dan mulalah mengenali orang-orang baru disekeliling. Yang paling penting kasih sayang dan rasa hormat kepada ibu bapa janganlah dipermudah dan dikurangkan. Sesungguhnya hubungan yang baik antara anak dan ibu bapa akan membawa ke arah pembentukan keluarga baru yang bahagia. Islam telah memberikan perhatian yang penting ke atas perkara ini. Agama mewajibkan anak-anak mentaati kedua orang tuanya. Anak-anak yang berilmu dan beriman akan sentiasa mengingati ibu bapa mereka.
Sabda Rasuluilah SAW yang bermaksud;
"Apabila mati seseorang anak Adam, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara sahaja, iaitu sedekah yang berkekalan, ilmu yang boleh dimanfaatkan dengannya dan doa daripada anak-anak yang soleh".

Terang bulan di malam sepi
Cahaya memancar ke pangkal kelapa
Hidup di dunia buatlah bakti
Kepada ibu dan juga bapa

Berbunga lebat pohon rambutan
Hinggap tempua berjuntai kaki
Bila dapat memandang bulan
Jangan lupa rumput di bumi




ANAKANDA RAIHANA DAN AMIRUL YANG DIKASIHI –
INI PULA PESANAN DAN HARAPAN AYAHANDA HJ RAHMAT DAN BONDA HAJJAH RAHIMAH
Untuk membina keluarga yang bahagia dan mendidik manusia, rumahtangga merupakan institusi yang asas dan terpenting kerana di situlah bermulanya kehidupan setiap individu. Dengan kata lain, rumahtangga adalah gelanggang bagi melahirkan individu-individu yang terdidik dengan Islam. Apabila individu-individu telah terdidik, mudahlah mereka ditadbir, diperintah atau dicorakkan mengikut Islam.
Allah berfirman yang maksudnya:
"Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada api Neraka." – (At Tahrim: 6)
Jadikanlah rumahtangga sebagai sebuah gelanggang kecil, di mana suami ibarat ketua negara, isteri sebagai menteri manakala anak-anak sebagai rakyat jelata. Rumahtangga Islam akan lahir apabila suami menjalankan tanggungjawab dengan baik; isteri taat dan setia, menjaga maruah dan berwatak pendidik; dan anak-anak menurut kata serta berakhlak. Insya-Allah amalan mulia ini akan menjana rezeki yang murah dan berkat. Suami yang adil dan bijaksana akan berupaya memimpin keluarga bahagia dibantu oleh isteri yang sentiasa menjadi penyokong setia tatkala suka dan duka.
Firman Allah SWT dalam Surah Al Nahl (16:72);

“Allah menjadikan bagi kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri dan menjadikan bagimu dari isteri-isteri kamu itu, anak-anak dan cucu-cucu, dan memberimu rezeki dari yang baik-baik”

Di samping itu, isteri adalah wanita yang solehah dan bijaksana yang dapat membantu suaminya menjalankan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya. Rumahtangga merupakan gelanggang jihad yang paling utama bagi kaum wanita. Sebab itulah dikatakan rumah itu Syurga bagi wanita. Rasulullah bersabda yang maksudnya:
"Apabila seorang wanita mendirikan sembahyang lima waktu, puasa pada bulan Ramadhan, menjaga kehormatan dan taat kepada suaminya, maka masuklah ia ke dalam Syurga." - Riwayat Al Bazzar daripada Anas.
Anakanda Raihana…Seorang wanita umpama jantung di dalam rumahtangga. Jika jantung diserang penyakit, seluruh anggota akan lemah. Begitulah halnya jika isteri tidak menjalankan tugas dan peranan yang sepatutnya, terganggulah kelancaran perjalanan sesebuah rumahtangga, atau pincanglah rumahtangga itu.


ANAKANDA YANG DIKASIHI
Sebagai orang tua yang lebih berpengalaman dan lebih dahulu merasa pahit manis kehidupan berumah tangga, percayalah bahawa rumahtangga adalah satu wadah untuk melahirkan generasi bertaqwa. Apabila berkahwin, kita akan memikirkan untuk mengembangkan keluarga. Hasrat untuk memiliki anak yang pada masa yang sama cucu kepada kedua-dua ibu dan bapa kita perlu disemat. Itulah salah satu matlamat perkahwinan dalam Islam, iaitu untuk mengembangkan zuriat. Berusahalah ke arah itu. Apabila sudah dikurniakan Allah zuriat maka didiklah anak itu dengan penuh kasih sayang dengan iman dan akhlak yang dijadikan dasar pendidikan kepada anak-anak.Oleh kerana ibu bapa adalah guru atau pendidik yang pertama dalam kehidupan anak-anak, ia mesti menunjukkan contoh yang baik. Dan hanya rumahtangga yang berwajah Islam saja yang dapat melahirkan suasana pendidikan yang sesuai bagi membentuk generasi beriman dan berakhlak, yang menjadikan Allah sebagai matlamat hidup.

Tinggi sungguh si Gunung Daik
Mercunya nampak terang berkilau
Kalau asal benih yang baik
Jatuh ke laut menjadi pulau

ANAKANDA AMIRUL DAN RAIHANA YANG DIKASIHI…


Sebagai pengukuh ukhuwah, kedua-dua ayahanda dan bonda serta kaum keluarga ingin berpesan bahawa perkahwinan ini bukanlah sekadar memenuhi tuntutan diri tetapi lebih kepada tuntutan agama. Apabila kita memasuki alam perkahwinan ini maka kita secara langsung memasuki alam berumah tangga. Akan ada pelbagai kesenangan dan kesusahan. Tetapi itulah hakikat sebuah perkahwinan. Sekali kita harunginya, terokailah sehingga mencapai ke penghujungnya. Banyak asam garam dan pahit manis kehidupan.

Bak kata pepatah “kalau takut kepada ombak, jangan berumah di tepi pantai”, “Alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan”, “kalau menarik rambut di dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berserakan”. Itulah lumrah kehidupan yang akan diharungi bersama. Untuk selamat sentiasalah kembali kepada kehidupan seorang muslim yang berpegang teguh kepada tali Allah.


Tenang-tenang air laut
Sampan kolek mudik ke tanjung
Hati terkenang mulut menyebut
Budi baik rasa nak junjung

Baik bergalas baik tidak,
Buli-buli bertali benang,
Baik berbalas baik tidak,
Asal budi sama dikenang.

AMBHA 10-06-2010


No comments:

Post a Comment